Oleh Kamariah Safri
Kali ini suara Hayani sedikit keras. Cuba menarik
perhatian saya yang masih lagi tekun menghadap skrin komputer. Terlalu banyak
urusan kewangan yang perlu dibereskan, sementelah bulan semakin hampir pada
penghujungnya.
“Dia dah balik…” sekali lagi Hayani bersuara
sambil mencuit bahu saya. Saya memandang Hayani seketika. Tersenyum kelat.
Kembali menghadap skrin komputer, cuba memberi tumpuan meskipun hati
saya sedikit berdebar.
“Kijang Putih kau dah balik.” Hayani
menepuk mesra bahu saya sambil berlalu menuju ke mejanya. Kali ini tumpuan saya
sedikit terjejas.
“Balik? Kijang Putih? ” Hati saya berbisik
perlahan.
Siapa dia? Siapa Kijang Putih yang Hayani cuba maksudkan?
Kijang Putih. Beberapa kali saya menyebut perkataan itu dalam hati.
Saya memejam mata rapat-rapat. Lama. Baru
saya teringat. Baru minda saya terbuka. Baru fikiran saya mula memikir. Dia dah
balik? Kijang Putih dah balik? Dada saya semakin berdebar. Jantung saya
berdegup pantas.
Mata saya terasa pedih. Tanpa saya sedari
ada air yang mengalir perlahan. Panas pipi saya untuk seketika. Cepat saya
menyeka dan memandang ke arah Hayani. Dia juga nampak tekun dengan tugasnya.
Seolah sebentar tadi dia tidak berkata
sesuatu pada saya. Atau mungkin hanya telinga saya seolah terdengar sesuatu.
Saya sendiri kurang pasti. Lama saya merenung ke arah Hayani, mengharap dia
menoleh ke arah saya.
Hampa. Hayani tetap meneruskan tugasnya
seolah percakapannya sebentar tadi tidak membawa sebarang makna.
Kijang Putih. Aneh. Rasanya nama tersebut
sudah lama tidak bermukim di hati saya. Namun begitu tidak juga pernah lekang
daripada kamus hati saya.
“Patutlah semalam saya bermimpi kijang
putih makan garam di tapak tangan saya.” Saya termangu sambil mengerutkan dahi.
Dia ketawa nakal melihat gelagat saya terpinga.
“Maaf. Saya Haikal.” Dia menghulurkan
tangannya untuk bersalam dengan saya. Saya menjadi semakin terpinga dan keliru.
Saya memandang sekitar. Nasib baik
pelanggan di kedai buku Popular petang Sabtu itu tidak ramai. Kalau tidak, saya
pasti malu sendiri bila disapa dengan tiba-tiba oleh lelaki yang tidak saya
kenali.
“Maafkan saya. Saya ingin berkenalan dengan
saudari. Ikhlas.”
Sekali lagi dia bersuara. Lama saya
merenung dia.
Boleh tahan, bisik hati kecil saya.
Berseluar jeans lusuh dengan kemeja-T berwarna biru laut dan berjaket kain
denim yang hampir lusuh.
Dia memandang saya dengan satu pengharapan.
Sepasang mata redupnya cukup menggoda. Pandangan kami bertukar. Entah kenapa
ada satu perasaan halus yang mengalir perlahan dalam hati saya.
Tanpa sedar saya menyambut huluran
tangannya. “Aina Farina,” saya bersuara perlahan. Dia tersenyum puas.
Sejak dari waktu itu, saya dan dia selalu
berhubungan, entah kenapa saya menjadi teruja bila bersamanya.
Hubungan kami rapat walaupun bidang kerjaya
kami berlainan. Kami sepakat dalam banyak perkara. Kata rakan sekerja, saya
nampak begitu selesa dan serasi bila bersama dia.
Kami berkongsi minat memancing dan membaca.
Masa lapang kadangkala kami penuhi dengan menonton teater dan berjam-jam
memancing di Tasik Perdana tanpa sebarang hasil. Dan sesekali menemani dia
membaca puisi di Rumah Pena.
Kerana dia juga saya mula belajar tentang
keindahan puisi. Mengenali dunia teater. Mengagumi karya agung Datuk A Samad
Said, Datuk Shahnon Ahmad dan beberapa sasterawan negara yang lain.
Persahabatan yang terbina antara kami jujur
dan ikhlas, tanpa sebarang harapan dan impian. Namun putik untuk membungakan
kasih ada ketika terjelma juga dalam jiwa, tanpa saya sedar. Lagu rindu
adakalanya bertandang juga dalam hati walaupun saya tidak pernah melayan irama
tersebut.
Saya biarkan ia berlalu tanpa rasa, tanpa
nada. Namun ada ketikanya kocak kasih itu berbekam juga dalam jiwa saya. Saya cuba memahami
dirinya yang sebenar. Memahami kehendak nuraninya yang tidak begitu jelas.
“Saya ingin pergi. Merantau ke negara
orang. Rutin hidup di sini tidak begitu mencabar. Saya teringin nak sambut
millenium di negara orang.”
Begitu bersahaja dia menuturkan kata-kata
berkenaan hampir tujuh tahun yang lalu tatkala kami sedang leka memancing di sebuah
kolam berbayar.
Saya menjadi begitu terpana. Gelodak hati
dan jiwa saya ketika itu Tuhan saja yang tahu. Ingin saja saya menghalang tapi
siapa saya di hati dia. Tidak ada langsung nada ragu-ragu dalam percakapannya.
Saya jadi keliru dan tidak menentu. Saya
tidak mengerti apa yang dikatakan Haikal tapi cuba memahami dan mendalami sebaik
mungkin.
“Aina, awak jangan bimbang. Saya takkan
lupakan Kijang Putih. Apa yang tersirat di hati awak, itu jugalah yang tersurat
di hati saya.”
Dia merenung saya dalam-dalam sambil
memegang erat tangan saya. Mata saya terasa pedih dan panas.
Tanpa dapat dibendung, ada air hangat yang
mengalir perlahan. Dan dia dengan tenang menyeka air mata yang berlinang di
pipi saya.
Saya merenung wajahnya dalam-dalam.
Merenung tajam ke sepasang mata redupnya. Mata yang membuat hati saya
berdebar-debar, mata yang kerap mengundang resah gelisah dalam lena mahupun
jaga saya. Namun, sinar matanya tetap redup seredup bayu petang. Tenang dan
mendamaikan.
Dia pergi juga akhirnya. Siapalah saya
untuk menghalang pemergiannya. Saya hanya mampu menghantar dengan pandangan
yang sayu. Hanya sekeping kad ditinggalkan untuk saya. Di dalamnya tertera
perkataan.
“Kijang Putih pergi untuk seketika, satu
hari nanti pasti kembali untuk bermain di pinggir kali…”
Saya tidak arif untuk mentafsir apa yang
tersurat. Tapi saya berjanji pada diri sendiri, saya akan menunggu dia kembali.
Tahun pertama Haikal di negara orang,
banyak kiriman berita untuk saya. Meskipun ada kemudahan e-mel, SMS, dia begitu
gemar mencatat segala berita tentang dirinya di tempat baru.
Saya pula menjadi begitu teruja untuk
menanti kunjungan warkah bersetemkan daun maple. Penantian saya tidak sia-sia.
Ia membuahkan sesuatu yang indah. Hampir setiap purnama pasti ada berita darinya.
Hati saya mula dibuai lagu rindu bila warkah darinya lewat tiba.
Namun, saya selalu memujuk hati sendiri,
‘Aina Farina, dia mungkin sibuk dengan agenda barunya.’ Lalu lagu rindu yang
bersenandung dalam jiwa saya hilang begitu saja.
Tahun kedua masih lagi ada berita darinya.
Walaupun tidak seghairah dulu namun masih ada catatan untuk saya. Saya menghidu
sesuatu daripada catatannya.
Ada resah yang membara di jiwanya. Ada hati yang berkelana tanpa musimnya. Dia
seolah mencari sesuatu atau cuba
melarikan diri daripada sesuatu. Saya tak pandai untuk memberi nasihat cuma
sekadar berharap dan berdoa agar dia akan temui apa yang dicarinya.
Poskad terakhir yang saya terima, Haikal
menyatakan dia akan menyambung pelajarannya dalam bidang seni. Dan semenjak
itu, dia terus menyepi. Tiada lagi catatan untuk saya.
Atas sebab apa dia menyepi, hingga hari ini
saya betul-betul tidak mengerti. Saya cuba juga mengutusinya dan bertanya
khabar. Malangnya tak ada catatan lagi untuk saya.
Kadangkala saya bertanya sendiri, adakah
saya telah menulis sesuatu yang menyinggung perasaannya lalu ghairahnya untuk
berkongsi cerita dengan saya menjadi pupus. Saya sendiri tidak pasti. Atau
sememangnya dia tidak telus dalam persahabatan kami.
Akhirnya lagu rindu semakin bersenandung dalam
setiap mimpi saya hingga kesudahannya lena saya hanya dialun irama sepi yang
tak bernada.
‘Aina Farina, jangan terlalu mengharap pada
sesuatu yang tak pasti. Nanti memakan diri sendiri.’ Hati kecil saya selalu
berbisik namun naluri saya masih mengharap. Harapan yang di awang-awangan.
“Dah hampir tujuh bulan dia di sini, Aina.”
Hayani bersuara perlahan. Saya tersentak sambil mengerutkan dahi.
Segala yang berlagu di minda
hilang serta-merta. Saya mengeluh perlahan.
Memandang ke arah Hayani yang tekun memandu meredah kesesakan lalu lintas.
Lebuh Ampang mana mungkin sunyi tatkala
waktu senja mula menjengah. Keadaan semakin meruncing bila hujan mula turun
dengan renyai-renyai.
“Dari mana aku dapat tahu dia dah ada di
sini, kau jangan tanya. Apa yang aku tahu dia dah balik tapi aku tak pasti,
balik terus atau hanya sementara.” Hayani seolah mengerti kerut dahi saya yang
meminta kepastian.
“Mengeluh,” Hayani menegur bila saya
melepaskan keluhan yang berat. Saya hanya mengangguk perlahan.
“Katanya dia sekarang aktif mengarah
teater. Dengar cerita bulan depan nak mulakan projek besar. Persembahan teater
sulungnya di Istana Budaya.”
Kali ini saya terlopong. Benar-benar kagum
dari mana Hayani mendapat maklumat terkini tentang Kijang Putih.
“Haris beritahu aku, dia terpilih untuk
berlakon dalam teater yang bakal diarahkan oleh seorang pengarah yang baru
balik dari luar negara. Katanya ada ijazah dalam Seni Persembahan. Dari cerita
Haris, aku dapat agak dia Kijang Putih kau.”
Sekali lagi saya menahan keluhan. Kereta
yang dipandu oleh Hayani terasa seperti merangkak. Kalau boleh saya ingin
segera sampai ke rumah.
Mandi, tidur dan bermimpi. Berharap dalam
mimpi nanti akan bertemu dengan kijang putih. Bermain dan mengusap mesra
bulunya sama seperti yang saya lakukan pada kucing kesayangan saya, Embun.
Saya tersenyum sendiri. Harapan dan impian
saya mungkin jauh tersasar daripada kenyataan. Keliru, sedih, hampa, marah dan
bahagia berbaur dalam minda saya. Apapun, saya rasa lega kerana dia telah
selamat berada di tanah airnya sendiri. Berjuang untuk memartabatkan seni
warisan bangsanya sendiri.
“Hujan nampaknya semakin lebat. Tak tahulah
pukul berapa kita nak sampai rumah ni,” Hayani merengus sambil tangannya lincah
menukar stesen radio. Mungkin untuk mencari maklumat tentang kesesakan jalan
raya.
… menyanyi kerana gembira, menyanyi kerana
sedih, menyanyi kerana rindu.. aduh siapa dapat membaca hatiku saat ini…
Jari Hayani terhenti, dia memandang ke arah
saya. Tersenyum. Masing-masing melayan lagu yang semakin menjadi santapan halwa
telinga pendengar masa kini.
Hujan semakin mencurah. Terasa begitu
dingin sekali. Saya memejamkan mata rapat-rapat. Cuba melayan perasaan sendiri, aduh
siapa dapat membaca hatiku saat ini…
Patah lirik tersebut terngiang-ngiang di telinga
saya.
Benar, tak ada siapa yang tahu apa yang
bermukim di hati saya saat ini. Saya terbayangkan sekumpulan kijang putih
sedang bermain-main di satu kawasan belukar di pinggir kali yang airnya
mengalir jernih.
“Kijang putih cium buntut Kancil, patutlah,
jalan jam teruk.” Jeritan Hayani buat saya terpinga-pinga.
Segera saya menurunkan cermin tingkap untuk
meninjau dan mencari kijang putih. Air hujan menerpa masuk tanpa dilawa. Saya
tergamam seketika. Tersedar.
“Bukan kijang putihlah tapi rusa putih.
Sorry.” Hayani mengenyitkan mata kirinya pada saya.
Nakal. Saya menggelengkan kepala sambil
tersenyum. Segera menutup kembali cermin tingkap dan kembali memejamkan mata.
Mengharap sesuatu yang indah bakal bertandang. Hampa.
“Cukup cukuplah tu. Aku tahu kau rindukan
Kijang Putih tu. Minggu depan Pekan Teater dah mula. Aku pasti dia akan
berkampung di situ.”
Hayani menepuk lembut paha saya. Tepukan
mesra seorang sahabat yang cukup memahami saya. Saya rasa cukup terharu.
Kijang Putih dah kembali, itu pasti. Yang
tidak pasti kenapa Kijang Putih begitu mudah melupakan kenangan yang pernah
tercipta antara saya dan dia. Tidak adakah sekelumit lagu rindunya pada saya?
Soalan itu tidak pernah mati dari jiwa dan
saya tak memerlukan jawapan yang pasti. Kerana kini saya mula belajar mengerti.
Haikal, hadirmu bagai bayu, mengulit lagu rindu,
pergimu bagai debu, melenyapkan seribu kenangan yang bermukim di kalbu. Dan
Aina Farina akan terus menanti dan menanti pada impian yang tidak pasti.

0 comments:
Post a Comment